Setiausaha Sulit Sultan Selangor nafi dakwaan Khalid
SHAH ALAM: Sehari sebelum Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru mengangkat Sumpah Taat Setia kepada Sultan Selangor, hari ini, isu pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi semakin panas apabila kerajaan negeri mempersoalkan kenyataan Istana yang didakwa hanya pandangan peribadi Setiausaha Sulit Sultan, Datuk Mohamad Munir Bani.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mendakwa kenyataan Istana yang dikeluarkan kelmarin bagi menjelaskan isu itu bukan titah rasmi Sultan Sharafuddin Idris Shah.
"Jadi, kita akan selesaikan ini secepat mungkin dengan meneruskan usaha kerajaan untuk meminda Undang-undang Tubuh negeri bagi mengembalikan kuasa melantik tiga pegawai eksekutif di Selangor kepada Sultan Selangor dan Menteri Besar," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini, semalam.
Sementara itu, Mohamad Munir yang menjawab tuduhan itu, berkata, penjelasan Sultan Selangor berhubung isu pelantikan Mohd Khusrin adalah daripada isi hati baginda dan kenyataan akhbar semalam mendapat titah serta perkenan baginda.
Beliau berkata, semua perkara yang dibangkitkan dalam penjelasan itu sudah dibincangkan dengan baginda, sekali gus menolak dakwaan kerajaan negeri bahawa ia adalah kenyataan peribadinya.
Sultan Sharafuddin dalam kenyataan yang dikeluarkan Mohamad Munir kelmarin menjelaskan kedudukan sebenar dan pelbagai perkara yang dibangkitkan beberapa pihak berhubung isu pelantikan Mohd Khusrin.
“Saya tidak tahulah cara Menteri Besar (Selangor) bekerja, sama ada beliau memberi kuasa penuh kepada Setiausaha Sulitnya untuk mengeluarkan kenyataan tanpa pengetahuan beliau.
“Namun, saya sebagai Setiausaha Sulit Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor jika hendak mengeluarkan kenyataan, mesti mendapat titah dan perkenan Tuanku. Saya dan Tuanku sudah berbincang, malah Tuanku maklum mengenai semuanya.
“Saya tidak pandai-pandai buat sendiri (kenyataan akhbar berkenaan), saya perlu bertanggungjawab kepada Tuanku,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Ketika ditanya mengenai kesan jika Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak menghadiri Majlis Angkat Sumpah Taat Setia Setiausaha Kerajaan Selangor kepada Sultan Selangor yang dijadualkan berlangsung hari ini di Istana Bukit Kayangan, Mohamad Munir berkata, Menteri Besar itu perlu hadir kerana beberapa upacara rasmi lain akan turut berlangsung.
Upacara itu termasuk Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Selangor kepada Raja Muda Selangor sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang Ke-65 Sultan Selangor, Angkat Sumpah Taat Setia Penjawat Jawatan Setiausaha Kerajaan Selangor dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor.
Selain itu, pelantikan dan angkat sumpah Ahli Dewan Diraja Selangor serta Jaksa Pendamai Selangor, dan pelantikan Ahli Majlis Agama Islam Selangor dan juga Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah Selangor.
“Menteri Besar sudah dijemput, jika tidak hadir (ke majlis itu) nampak sangat beliau tidak ambil kisah atau tidak menghormati majlis Tuanku. Sebagai ketua pentadbiran negeri, beliau harus memahami perkara ini.
“Kita tidak mahu ada perselisihan dengan Menteri Besar... yang timbul ialah perkara kecil dibesar-besarkan. Apa salahnya menerima dan memberi peluang kepada Mohd Khusrin bertugas dulu sebelum membuat penilaian. Apabila berlaku keadaan seperti ini, kakitangan Kerajaan Selangor pun berasa rimas kerana ia memalukan,” katanya.
Ketika Menteri Besar ditanya sama ada akan menghadiri majlis angkat sumpah berkenaan, beliau terus berteka-teki.
"Tengoklah macam mana esok (hari ini)... anda tunggu dan lihat," katanya.
Mengenai majlis angkat sumpah menyimpan rahsia, Abdul Khalid berkata, mesyuarat Exco Selangor sebulat suara bersetuju tidak menjemput Mohd Khusrin menghadiri majlis itu sehingga kemelut berkenaan diselesaikan.
Ditanya bila sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi meminda Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor akan diadakan, katanya, surat bertulis kepada Speaker DUN, Datuk Teng Chang Khim mengenainya sudah dihantar semalam.
"Sidang DUN ini akan diadakan bulan ini dan kita jangkakan ia hanya mengambil masa sehari saja," katanya.



0 comments:
Post a Comment