Friday, January 28, 2011

Jadi Kaya Bukanlah Magik Tapi Logik!

Motivasi :

Ketika anda sedang menatap artikel ini, saya baru sahaja melancarkan program transformasi diri terbaru saya "Seminar Kenali Potensi Diri-Dimensi Baru 2011" di seluruh Malaysia. Anda boleh layari www.skpd2011.com/daftar untuk info lanjut.

Untuk menjadi kaya sebenarnya bukanlah magik tetapi logik! Sebelum saya terangkan, suka saya ingin berkongsi tentang beberapa salah faham tentang apa yang saya ajarkan mengenai kajian tarikh lahir.

Salah Faham #1: Kita boleh tahu samada kita boleh jadi kaya atau tidak melalui tarikh lahir

Jawapan saya ialah, orang yang bertanya itu memanglah "bangang"(Bak kata orang Negeri Sembilan). Mana mungkin saya mampu untuk mengetahui seseorang itu boleh jadi kaya atau tidak dengan melihat pada tarikh lahir? Terima kasih juga kepada mereka yang menggelar saya "Ahli Nujum Negara". Tahniah kerana tolong "promote" saya secara tidak langsung.

Sebenarnya, saya tidak tahu samada seseorang itu boleh kaya atau tidak, saya tidak tahu samada seseorang itu boleh berjaya atau tidak dengan hanya "tengok" atau "tilik" tarikh lahir. Sampai hari ini saya tidak dapat "melihat" samada orang itu boleh berjaya atau tidak dengan melihat tarikh lahir mereka, tetapi saya boleh tahu adakah mereka ini berpotensi untuk berjaya atau tidak melihat kepada SIKAP atau KAREKTOR mereka. Ya, kalau hari ini sikap mereka malas untuk bertindak, malas bekerja serta sikap mereka asyik komplen atau cari salah orang lain tetapi "terlupa" untuk perbaiki kelemahan diri sendiri, saya rasa selagi mereka tidak ubah sikap tersebut, selagi itulah mereka ini susah untuk berjaya di dalam apa sahaja yang mereka lakukan.

Salah Faham #2: Tarikh lahir adalah meramal nasib

Sampai hari ini saya masih tidak tahu bagaimana untuk "tengok", "tilik" atau "ramal" tarikh lahir seperti yang di salah-ertikan oleh sesetengah "bijak-pandai" di luar sana. Betul saya tak tahu.

Apa yang saya tahu? Saya tahu berdasarkan pemerhatian, kajian dan soal selidik yang telah saya sendiri buat untuk beberapa tahun lamanya samada di dalam kerjaya saya dulu, perniagaan saya atau even di dalam kehidupan saya. Saya dapati secara statistiknya, ada sedikit informasi tentang persamaan karektor, tingkahlaku, watak atau sikap apabila kita memahami tentang tarikh lahir seseorang, itulah hasil pemerhatian saya dan pengalaman saya bagaimana saya menguruskan manusia di dalam organisasi saya serta perniagaan saya. Of course, ada banyak juga perbezaan. Tetapi, semakin banyak kita faham tentang seseorang, bukankah ianya memudahkan kita berurusan dengan mereka? Di dalam sesetengah kelas saya, saya akan berkongsi pengalaman saya tentang bagaimana saya mengenalpasti karektor seseorang itu menggunakan kajian tarikh lahir, kekuatan atau kelemahan sikap mereka supaya senang untuk bantu mereka untuk memperbaiki diri mereka.....

Saya tidak ada masalah dengan isu ini. Saya pernah di panggil oleh JAKIM, Unit Aqidah di hadapan lebih 10 orang panel ahli agama dan menjelaskan tentang isu ini. Saya tidak mengajar tentang bagaimana untuk meramal nasib. Tak percaya, datanglah program saya.

Salah Faham #3: Untuk kaya, kita tidak perlu buat apa-apa, kita tunggu sahaja!

Ini satu lagi teori "bahlul"! Kalau ada ilmu ini, saya pun nak! Masalahnya, selama bertahun-tahun saya buat bisnes, perkara "tunggu untuk kaya" ini tidak pernah ada! Tetapi, sekiranya kita sanggup untuk berusaha sambil berdoa serta berusaha dengan mempunyai ilmu yang diajar oleh mentor yang telah berjaya di dalam bidang yang kita ingin kuasai atau berjaya dan kita bersedia untuk bertindak dengan tindakan/ usaha yang "luar biasa", Insya-Allah hasilnya akan menjadi "luar biasa". Ramai orang "Malas"! Ramai nak "short-cut". Semua orang boleh baca buku saya dan Pak Habib, "Rahsia Kaya & Berjaya" tetapi bukan semua orang akan follow apa yang kita kongsikan. Sesetengah tu dok sibuk congak berapa harga buku dan berapa keuntungan saya dan Pak Habib. Tetapi lepas congak, dia bukan fikir bagaimana dia pun boleh tulis buku dan jual tetapi dok sibuk komplen Pak Habib kaya sebab jual buku.... Memang patutlah Pak Habib kaya sebab jual buku, sebab dia penulis. Tetapi kalau dok komplen atau kempen hal keburukan orang, kita dapat apa ya tak?

Untuk kaya atau berjaya, kita perlukan kuasa tindakan bukan kuasa memberi alasan (Excuses).


------------------------------------------------------------------------


Saya pernah gagal dan rugi di dalam perniagaan saya lebih 10 tahun dahulu. Ketika itu, saya masuk berniaga ibarat orang yang tidak reti nak main bowling tetapi terus lompat untuk cuba bermain. Tak tahu pilih bola, tak tahu cara baling. Kita ingat kita ada duit sikit, bayar kat kaunter, boleh terus pandai main bowling. Sebenarnya tidak, kalau setakat nak "exercise" tangan, nak baling-baling bola tu, memang bolehlah, tetapi tak mungkin terus jadi pemenang pingat emas olimpik ya tak? Untuk bermain bowling menjadi pemain yang hebat. Kita perlukan guru atau jurulatih. Kalau tak, nanti bola akan lebih banyak masuk ke "longkang".

Di situlah kesilapan saya dulu. Bila nak berniaga, saya terus lompat dalam dunia perniagaan tanpa guru atau ilmu perniagaan yang praktikal atau telah terbukti berkesan. Jadi, banyak usaha saya, modal saya semuanya masuk ke "longkang". Tetapi, nilai pengalaman "kebodohan" tersebut yang saya telah "bayar" dengan kegagalan saya dan kemudian saya "menuntut" daripada mereka yang telah berjaya menyebabkan semuanya berubah dalam tempoh 10 tahun ini.

Salah seorang guru agama saya yang juga seorang jutawan pernah berkata, sekiranya seseorang itu mahu menjadi berjaya atau lebih spesifik kaya, orang itu perlulah belajar memahami, menghayati, berfikir, bertindak dan bekerja seperti orang yang berjaya atau orang kaya sebelum akhirnya menjadi kaya juga! Dan orang yang bijak iman, adalah mereka yang bijak menggunakan bakat serta potensi dirinya untuk menjadi kaya, berjaya, beriman serta menyumbang kepada orang lain.

Ibarat sekiranya kita berkawan dengan penjual minyak wangi, samada kita suka ataupun tidak, bau kita akan jadi wangi. Begitu juga sekiranya kita ingin berjaya atau menjadi kaya. Tahukah anda bahawa kebanyakan orang yang berjaya atau kaya, ada persamaan dari segi cara mereka berfikir dan bertindak? Guru saya juga pernah berkongsi sebelum ini bahawa sebelum dia berjaya dan kaya seperti sekarang, akaun bank beliau serta tabung duit beliau “kering kontang”! Dia selalu fikir sebelum ini yang dia sudah tahu semua perkara tentang bagaimana hendak berjaya atau kaya, tetapi akaun bank beliau menunjukkan sebaliknya! Kemudian baru dia sedar, kenapa dia belum berjaya atau kaya dulu ialah kerana <span>ADA PERKARA ATAU RAHSIA YANG DIA TIDAK TAHU YANG HANYA DIKETAHUI OLEH ORANG YANG KAYA ATAU ORANG YANG BERJAYA!</span>

Guru saya juga berkata yang "Orang yang berjaya adalah orang yang betul-betul berjaya apabila dia sendiri telah berjaya dan dia membantu ramai orang untuk berjaya atau lebih berjaya sepertinya!"

Oleh itu, "Seminar Kenali Potensi Diri-Dimensi Baru 2011" merupakan salah satu cara bagaimana saya boleh menyumbang kepada ramai yang ingin mengetahui rahsia kejayaan hidup. Saya akan memberikan anda panduan secara peringkat demi peringkat tentang bagaimana kita memahami corak karektor dan cara anda berfikir yang positif serta negatif; saya juga akan memberikan panduan untuk anda mengubah keadaan anda atau situasi anda untuk bergerak ke arah kejayaan yang dikehendaki. Kaedah saya ini adalah menggunakan kaedah analisa SWOT (Strength, Weaknesses, Opportunities, Threat) yang biasanya kita lakukan di dalam perniagaan. Bukan mudah untuk mengubah diri kita yang dah “terjal” dan sebati dengan kita untuk berpuluh-puluh tahun, tetapi tidak mustahil sekiranya sanggup untuk belajar dan berubah!

Semua rahsia ini akan saya ajarkan di dalam SKPD-Dimensi Baru 2011 nanti. Jangan menilai sesuatu dari luaran tanpa mengenali sesuatu perkara itu. Bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta. Pepatah saya pula ialah tak kenal maka tak kaya! Bukan seorang tetapi lebih 70,000 orang yang telah menyertai kelas-kelas saya. Tiap-tiap ahad di Metro Ahad, anda boleh baca kisah mereka yang telah berjaya.

Jangan lepaskan peluang ini untuk mengambil langkah pertama di dalam mengenali diri sebelum membuat perubahan. Sebenarnya untuk menjadi kaya, ianya bukanlah magik, tetapi lojik. Kita perlu ada ilmu, ada ikhtiar bak kata pepatah inggeris, “the harder you work, the luckier you get!” dan doa yang dimakbulkan!

Layari www.skpd2011.com/daftar untuk maklumat lanjut.

Jangan percaya cakap saya, datang sendiri dan nilai sendiri!

Unlock Your Potentials!


Dr. Azizan Osman

Wednesday, January 26, 2011

Alza edisi khas diperkenal

Hanya 500 unit dikeluar peringati jasa Tun Dr Mahathir

PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) akan melancarkan Alza edisi khas yang menampilkan kemasan dan perincian lebih mewah dan eksklusif.

Pengarah Urusannya, Datuk Aminar Rashid Salleh, berkata Alza edisi khas yang akan dikenali sebagai ‘M2 Special Edition’ itu dikeluarkan sempena memperingati jasa dan sumbangan besar bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap penubuhan PERODUA.
Beliau berkata, sebagai edisi khas, hanya 500 unit akan ditawarkan dengan pengeluarannya dijangka dibuat seawal Mei ini.
“Secara keseluruhannya Alza M2 Special Edition itu nanti akan diberi sentuhan dan perincian baru lebih mewah lagi eksklusif.

“Bagi menambahkan lagi ketrampilan mewah dan eksklusif, kenderaan serba guna (MPV) itu akan turut diperkemaskan dengan perincian tambahan seperti jahitan baru pada tempat duduk, selain dikeluarkan hanya dalam satu warna saja iaitu ‘midnight blue’ yang anggun.

“Nama M2 Special Edition pula akan tertera pada emblem di bahagian belakang dan pada tempat duduk.” katanya ketika dihubungi Berita Harian semalam.

Aminar Rashid berkata, pihaknya belum lagi menetapkan harga bagi Alza M2 Special Edition, tetapi membayangkan ia akan berasaskan kepada harga Alza Advance Version. Harga pasaran Alza Advance Version ialah RM69,900 seunit.
Beliau berkata, PERODUA akan menyumbang RM1,000 daripada setiap unit dijual, atau RM500,000 daripada keseluruhan jualan 500 unit M2 Special Edition itu kepada Yayasan Kepimpinan Perdana bagi menyokong usaha murni diperjuangkan yayasan berkenaan.

“Jika ada pembeli yang mahu membelinya pada harga lebih mahal daripada ditetapkan, lebihan harga itu akan kami salurkan kepada Yayasan Kepimpinan Perdana,” katanya sambil menambah harga jualan bagi M2 Special Edition itu akan dikeluarkan dua minggu lagi.

Semalam Tun Dr Mahathir yang mencetuskan wawasan penubuhan PERODUA melawat kilang pengeluar kereta nasional kedua itu di Sungai Choh, Selangor. Lawatan terakhir beliau ke kilang itu ialah lebih 10 tahun.

Tun Dr Mahathir disambut kaki tangan Perodua termasuk Pengerusinya, Tan Sri Asmat Kamaludin, ahli lembaga pengarah dan pengurusan kanannya.

Sempena lawatan itu, PERODUA menghadiahkan seunit Alza dengan nombor plet 2020 kepada Tun Dr Mahathir, bagi mencerminkan wawasan 2020 yang dicetuskan beliau

Thursday, January 20, 2011

Misbun cetus tanda tanya

Chong Wei pamer semangat luar biasa

ADAKAH kemelut peletakan jawatan Datuk Misbun Sidek yang genap tiga minggu hari ini, menemui titik penyelesaian?
Itu persoalan yang berlegar sebaik jurulatih perseorangan itu duduk di bangku jurulatih dan mengiringi langkah anak emasnya, Lee Chong Wei dalam kemenangan pusingan kedua saingan Terbuka Malaysia, malam tadi.
Malah, kehadiran ikon itu kembali berada di sisi pemain nombor satu dunia itu jelas mendapat tepukan gemuruh penonton dan menyuntik semangat Chong Wei yang hanya memerlukan 23 minit untuk membenam pemain Hong Kong, Hun Yun, 21-6, 21-9.


Namun, sebaik berakhir perlawanan dan selepas memeluk Chong Wei, Misbun terus menuju ke pintu belakang dan menghilangkan diri, sekali gus mencetuskan tanda tanya sejauh mana kemelut peletakan jawatannya itu benar-benar sudah selesai?

“Saya datang untuk negara,” kata Misbun yang kemudian menaiki keretanya.

Chong Wei dalam sidang media selepas perlawanan mengakui, kehadiran jurulatihnya itu merangsang semangatnya dan berharap kemelut peletakan jawatan itu dapat diselesaikan segera.
“Saya tidak tahu dia datang dan hanya menyedari kehadirannya apabila dia (Misbun) tiba-tiba muncul ketika saya memanaskan badan. Walaupun terkejut, saya gembira kerana dia hadir dan merangsang saya mempamerkan permainan terbaik tadi (malam tadi).

“Begitupun, dia tidak memberitahu sama ada akan terus datang atau tidak lagi esok (hari ini). Namun, saya harap dia dan BAM (Persatuan Badminton Malaysia) dapat menyelesaikan kemelut peletakan jawatannya segera,” kata Chong Wei.

Chong Wei yang juga pilihan pertama kejohanan mara ke suku akhir dan dijadualkan bertemu pilihan kelapan, Nguyen Tienh Minh dari Vietnam yang menundukkan pemain Jepun 21-18, 21-18, hari ini.

Berdasarkan rekod, Chong Wei sudah memenangi enam daripada tujuh pertemuan dengan pemain itu dan kali terakhir menang ketika saingan peringkat kumpulan Kejohanan Siri Super Final di Taiwan, minggu lalu.

“Lawan (Nguyen) seorang pemain yang mengamalkan corak bertahan dan kali terakhir saya bertemunya di Taiwan awal bulan ini. Saya akan cuba mengalahkannya sekali lagi esok (hari ini),” kata Chong Wei yang memburu gelaran ketujuh.


Saturday, January 15, 2011

5,000 penduduk Tapah sambut kepulangan wira

TAPAH: Wira skuad Harimau Malaya, Mohd Safee Sali diberi sambutan hangat oleh penduduk daerah ini dalam majlis sambutan meraikan kepulangan pemain bola sepak kebangsaan itu ke rumah keluarganya di sini, semalam.

Pemain itu hadir bersama rakan sepasukan, Mohd Sabre Mat Abu serta jurulatih penjaga gol, Fauzi Mukhlas diberi layanan orang kenamaan pada majlis anjuran bersama ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Air Kuning dengan Persatuan Bola Sepak Daerah Batang Padang dan Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah itu.

Trio itu yang dibawa menaiki kereta antik diarak mengelilingi pekan dengan diiringi seramai 120 penunggang motosikal berkuasa besar sebelum tiba di Padang Majlis Daerah Tapah.
Dua exco kerajaan negeri iaitu Pengerusi Jawatankuasa Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Zainol Padzi Paharuddin serta Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Datuk Dr Mah Hang Soon dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk M Saravanan antara orang kenamaan yang hadir pada majlis itu.

Mohd Safee yang juga dinobatkan penjaring terbanyak Piala Suzuki AFF menjadi tumpuan kira-kira 5,000 penonton yang sanggup menunggu kedatangan trio kebangsaan itu sejak jam 10 pagi di Padang Majlis Daerah Tapah.

Beliau ketika berucap pada majlis sambutan itu melahirkan rasa terharu kerana diberi penghormatan yang tinggi dan sambutan berkenaan akan menjadi kenangan seumur hidupnya.

"Ini adalah detik paling manis dalam hidup saya yang tidak mungkin dapat dilupakan. Saya terharu dengan sambutan peminat di sini dan pada masa sama saya berbangga dapat hadir di padang ini.
" Di sinilah segalanya bermula di mana saya mula bermain bola sepak ketika berusia lima tahun. Malah sehingga sekarang pun saya masih datang bermain di padang ini ketika pulang ke Tapah," katanya.

Pada majlis itu Safee menerima insentif bernilai RM10,000 berikutan kejayaan membantu negara muncul juara Piala Suzuki AFF 2010 selain muncul sebagai penjaring terbanyak. Manakala Mohd Sabre yang lahir di Parit Buntar dan Fauzi berasal dari Tapah Road pula masing-masing menerima RM5,000 dan RM3,000 sumbangan kerajaan negeri. Seorang lagi pemain kelahiran Lumut, Perak, Mohd Fadhli Mohd Sas yang tidak hadir turut menerima imbuhan RM5,000.

Friday, January 7, 2011

Reza bakal pengacara AF9?

Bersyukur rezeki di bidang pengacaraan semakin murah

TAHUN lalu, jejak kelahiran Sibu, Sarawak ini bergandingan dengan Raja Azura mengendalikan program kebanggaan Rosyam Nor, Pilih Kasih. Tapi untuk Pilih Kasih musim kedua bersiaran 11 Disember lalu, Reza bersendirian tanpa ditemani sesiapapun berbanding musim lalu dia mengemudi program itu bersama Raja Azura.
Jangan ditanya sebab ketiadaan pengacara stesen radio nombor satu itu dalam program Pilih Kasih tahun ini kerana Reza tidak ada jawapannya, lalu meminta ditanya saja kepada pihak produksi. Apa yang lebih utama buat pemilik bernama penuh Syaiful Reza Mohamed itu ialah untuk menggalas tanggung jawab mengacarakan Pilih Kasih sebaik mungkin.
“Saya berterima kasih dan bersyukur kerana masih dikekalkan untuk meneruskan mandat sebagai pengacara Pilih Kasih 2. Bagi saya tak kisahlah mengacara bersendirian atau berdua kerana masing-masing memberikan keghairahan tersendiri.

“Tapi kalau mengacara secara solo mungkin lebih banyak kerja berbanding bergandingan. Keterujaan saya juga lebih untuk musim kedua ini. Alhamdulillah rating musim pertama juga membanggakan dan harapnya yang kedua ini juga akan memberi dimensi baru untuk arena seni kita,” kata Reza yang pernah mengacarakan program Katakau dan Kelab Pop.

Selain bergelar pengacara dan bekerja di konti radio, Reza memberitahu dunia nyanyian masih tetap di hati. Sekalipun tidak berpeluang atau bermimpi menghasilkan sebuah album, si petah berbicara ini masih memenuhi undangan membuat persembahan bersama Astro dan syarikat tertentu.

Dalam perkembangan lain, nama Reza turut dikatakan antara calon yang bakal mengemudi Akademi Fantasia musim kesembilan. Bagaimanapun Reza, enggan memberi komen lanjut terhadap perkara yang belum pasti. Cuma yang boleh disahkan Reza ialah mengenai program Katakau yang bakal disambung pada tahun depan.
“Mengenai AF9 itu saya ada mendengar ura-ura saja. Tapi saya sendiri belum pasti kesahihannya. Kalau betul dan ada rezeki, saya bersyukur. Lagipun, itu juga tanda saya memberi sokongan kepada program yang pernah mencungkil bakat saya,” kata Reza yang pernah menyertai Akademi Fantasia musim ketiga.

Lima tahun membabitkan diri dalam dunia penyiaran di stesen radio ERA, lelaki berusia 32 tahun ini terus tegar meneruskan survivalnya. Sekalipun datang pelbagai dugaan dan kontroversi yang memalit namanya, Reza hanya mampu bersabar kerana semua itu dianggap lumrah yang perlu ditelan.

Malah hingga kini orientasi dirinya juga masih menjadi tanda tanya. Kata Reza, perkara sebegitu hanya subjektif dan tidak boleh dinilai dengan mata kasar. Sebagai manusia biasa, Reza hanya mampu menjawab persoalan yang diaju.

“Pelbagai dugaan yang saya sudah lalui. Saya hanya mampu membiarkan saja tanpa langsung menjadi kudis. Saya lebih tahu siapa diri saya. Bunyi macam klise, tapi orang di luar boleh terus menghakimi saya. Cuma saya tak nafikan persoalan orientasi diri saya itu sering mengundang teka-teki.

“Apabila orang terus bertanya mengenai perihal itu, saya akan beri jawapan yang sama. Terimalah saya seadanya. Pada satu peringkat, ia jadi menyakitkan hati. Tapi tak apalah, saya tak boleh halang orang daripada terus berkata-kata,” katanya yang mengendalikan segmen Petang ERA bersama Adi Fashla.

Profil

Nama penuh: Syaiful Reza Mohamed
Nama komersial: Reza Mohamed
Tarikh lahir: 25 Ogos
Tempat lahir: Lau King Howe Hospital, Sibu, Sarawak
Zodiak: Virgo

Wednesday, January 5, 2011

Makin Panassss

‘Penjelasan isi hati Tuanku’
Setiausaha Sulit Sultan Selangor nafi dakwaan Khalid

SHAH ALAM: Sehari sebelum Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru mengangkat Sumpah Taat Setia kepada Sultan Selangor, hari ini, isu pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi semakin panas apabila kerajaan negeri mempersoalkan kenyataan Istana yang didakwa hanya pandangan peribadi Setiausaha Sulit Sultan, Datuk Mohamad Munir Bani.


Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mendakwa kenyataan Istana yang dikeluarkan kelmarin bagi menjelaskan isu itu bukan titah rasmi Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Beliau berkata, Sultan Selangor sudah diberi penjelasan mengenai isu berhubung pelantikan Mohd Khusrin dalam pertemuan dengan baginda pada 3 Januari lalu termasuk isu membabitkan pindaan Undang-undang Tubuh Negeri Selangor.
"Kerajaan negeri berpendapat itu hanyalah kenyataan beliau (Mohamad Munir) sendiri. Ini kerana Sultan Selangor faham apa yang berlaku ketika ini dan kenapa ia berlaku.

"Jadi, kita akan selesaikan ini secepat mungkin dengan meneruskan usaha kerajaan untuk meminda Undang-undang Tubuh negeri bagi mengembalikan kuasa melantik tiga pegawai eksekutif di Selangor kepada Sultan Selangor dan Menteri Besar," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini, semalam.

Sementara itu, Mohamad Munir yang menjawab tuduhan itu, berkata, penjelasan Sultan Selangor berhubung isu pelantikan Mohd Khusrin adalah daripada isi hati baginda dan kenyataan akhbar semalam mendapat titah serta perkenan baginda.

Beliau berkata, semua perkara yang dibangkitkan dalam penjelasan itu sudah dibincangkan dengan baginda, sekali gus menolak dakwaan kerajaan negeri bahawa ia adalah kenyataan peribadinya.
Sultan Sharafuddin dalam kenyataan yang dikeluarkan Mohamad Munir kelmarin menjelaskan kedudukan sebenar dan pelbagai perkara yang dibangkitkan beberapa pihak berhubung isu pelantikan Mohd Khusrin.

“Saya tidak tahulah cara Menteri Besar (Selangor) bekerja, sama ada beliau memberi kuasa penuh kepada Setiausaha Sulitnya untuk mengeluarkan kenyataan tanpa pengetahuan beliau.

“Namun, saya sebagai Setiausaha Sulit Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor jika hendak mengeluarkan kenyataan, mesti mendapat titah dan perkenan Tuanku. Saya dan Tuanku sudah berbincang, malah Tuanku maklum mengenai semuanya.

“Saya tidak pandai-pandai buat sendiri (kenyataan akhbar berkenaan), saya perlu bertanggungjawab kepada Tuanku,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Ketika ditanya mengenai kesan jika Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak menghadiri Majlis Angkat Sumpah Taat Setia Setiausaha Kerajaan Selangor kepada Sultan Selangor yang dijadualkan berlangsung hari ini di Istana Bukit Kayangan, Mohamad Munir berkata, Menteri Besar itu perlu hadir kerana beberapa upacara rasmi lain akan turut berlangsung.

Upacara itu termasuk Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Selangor kepada Raja Muda Selangor sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang Ke-65 Sultan Selangor, Angkat Sumpah Taat Setia Penjawat Jawatan Setiausaha Kerajaan Selangor dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor.

Selain itu, pelantikan dan angkat sumpah Ahli Dewan Diraja Selangor serta Jaksa Pendamai Selangor, dan pelantikan Ahli Majlis Agama Islam Selangor dan juga Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah Selangor.

“Menteri Besar sudah dijemput, jika tidak hadir (ke majlis itu) nampak sangat beliau tidak ambil kisah atau tidak menghormati majlis Tuanku. Sebagai ketua pentadbiran negeri, beliau harus memahami perkara ini.

“Kita tidak mahu ada perselisihan dengan Menteri Besar... yang timbul ialah perkara kecil dibesar-besarkan. Apa salahnya menerima dan memberi peluang kepada Mohd Khusrin bertugas dulu sebelum membuat penilaian. Apabila berlaku keadaan seperti ini, kakitangan Kerajaan Selangor pun berasa rimas kerana ia memalukan,” katanya.

Ketika Menteri Besar ditanya sama ada akan menghadiri majlis angkat sumpah berkenaan, beliau terus berteka-teki.

"Tengoklah macam mana esok (hari ini)... anda tunggu dan lihat," katanya.

Mengenai majlis angkat sumpah menyimpan rahsia, Abdul Khalid berkata, mesyuarat Exco Selangor sebulat suara bersetuju tidak menjemput Mohd Khusrin menghadiri majlis itu sehingga kemelut berkenaan diselesaikan.

Ditanya bila sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi meminda Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor akan diadakan, katanya, surat bertulis kepada Speaker DUN, Datuk Teng Chang Khim mengenainya sudah dihantar semalam.

"Sidang DUN ini akan diadakan bulan ini dan kita jangkakan ia hanya mengambil masa sehari saja," katanya.

Monday, January 3, 2011

Khairul Fahmi dapat hadiah rumah

PENJAGA gol Skuad Harimau Malaya, Khairul Fahmi Che Mat, 21, yang membantu negara menjulang Piala Suzuki AFF 2010 Disember lalu, menerima ‘durian runtuh’ apabila kerajaan negeri Kelantan bersetuju menghadiahkan sebuah rumah kepadanya bagi menghargai jasa mengharumkan nama Malaysia.



Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat, berkata langkah itu diambil sebagai menghargai sumbangan anak kelahiran negeri itu yang menunjukkan kemampuannya di peringkat antarabangsa menerusi sukan bola sepak.
“Pada tahun ini, untuk menghargai jasa beliau (Khairul Fahmi) yang boleh menjadi contoh kepada masyarakat, maka kerajaan negeri setuju memberikannya sebuah rumah,” katanya pada Majlis Sambutan Meraikan Kepulangan Wira Negara di Kampung Cherang, di Kota Bharu, semalam.
Kepulangan Khairul Fahmi ke kampungnya disambut kira-kira 300 peminat sebagai tanda sokongan berikutan sumbangan penjaga gol muda itu menyelamatkan banyak cubaan bahaya Indonesia pada perlawanan akhir yang berkesudahan agregat 4-2.

Nik Aziz bagaimanapun berkata, nilai dan lokasi rumah bakal diterima Khairul Fahmi belum diputuskan kerajaan negeri kerana ia perlu dibincangkan bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Abdul Fatah Mahmood.

“Harga rumah saya tak sebut nilai berapa, tapi benda itu rumahlah dan Insya-Allah akan disampaikan Abdul Fatah.”

Sementara itu, Khairul Fahmi berkata, beliau tidak menyangka kerajaan negeri akan menghadiahkan sebuah rumah sebagai menghargai jasa dan sumbangannya.
“Saya tak sangka benda macam ini nak jadi (dapat rumah) dan sangat berterima kasih kepada kerajaan negeri. Saya hanya menjalankan tanggungjawab, mewakili negara dalam bola sepak semata-mata untuk maruah bangsa,” katanya.

Katanya, popularitinya yang naik secara mendadak tidak akan mengganggu tugasnya sebagai penjaga gol untuk skuad kebangsaan mahupun Kelantan.

“Kehidupan sekarang memang beza dari dulu tetapi saya tetap fokus dan beri yang terbaik ketika bermain kerana ini adalah karier saya,” kata Khairul Fahmi.
Powered by Blogger.

Info Terkini :

Dapatkan Booster Forex Percuma, cuma daftar akaun baru InstaForex melalui Blog ini dan hantar bukti no akaun baru anda ke pencetakwang@gmail.com.

Penghantaran Booster percuma akan dihantar kepada anda. Maksimakan keuntungan melalui Booster percuma ini, cepat kerana had hanya 100 orang terawal sahaja. Tinggal 56 orang lagi. Cepat!! Daftar melalui link banner ini.

Iklan Penaja :

Renungan Si Manja © 2010 - 2011 Hakcipta Terpelihara:
Renungan Si Manja